CIKGU VETERAN

Norsyahifee, Johan Pidato Peringkat Daerah Kluang






KLUANG, 5 Julai – Panitia Bahasa Melayu  Sekolah Kebangsaan  Kluang Barat telah menghantar dua orang peserta untuk menyertai Karnival Bahasa Melayu Peringkat Daerah yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Seri Taman Kluang Barat.  Karnival ini dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu Daerah Kluang.


     Karnival ini diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat murid-murid dalam pelbagai pertandingan, iaitu pidato, bercerita, bersyair, bersajak dan menulis esei.  Pertandingan ini juga diharapkan dapat menanam perasaan cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid.  Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk memilih peserta yang akan mewakili daerah Kluang ke Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Johor yang akan diadakan pada 11 Julai 2012 di daerah Muar.

     Penutupan Karnival Bahasa Melayu ini telah disempurnakan oleh wakil Pegawai Pelajaran Daerah, iaitu En. Mahyudidin bin Salim. Dalam ucapan penutupan majlis itu, beliau berharap agar murid-murid didedahkan dengan pengucapan awam sejak dari peringkat sekolah rendah lagi. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Ketika majlis penyampaian hadiah, Muhammad Norsyahifee bin Mohd Khambali telah diumumkan sebagai juara pertandingan pidato mengalahkan sembilan peserta yang lain.  Beliau berjaya membawa pulang sebuah piala dan segulung sijil setelah memenangi pertandingan itu.  Seorang lagi peserta, Nur Hannan Athirah binti Mohd Azri  yang menyertai pertandingan mendeklamasi sajak, tidak berjaya memenangi sebarang hadiah tetapi telah menunjukkan persembahan yang baik semasa pertandingan. Walaupun tidak berjaya, beliau melahirkan rasa bangga kerana dapat mewakili sekolah  dalam karnival yang telah diadakan itu.

     Guru yang membimbing Muhammad Nursyahifee, Pn. Zalina binti Zainon melahirkan rasa gembira atas kejayaan yang telah dicapai oleh anak didiknya itu.  Beliau berharap Nursyahifee akan gigih berusaha dalam masa yang singkat ini untuk meningkatkan kemahiran berpidato sebelum menyertai pertandingan di peringkat negeri beberapa hari lagi. Beliau juga berharap, Nur Hannan Athirah yang tidak berjaya memenangi hadiah dalam pertandingan itu tidak berasa kecewa dan berusaha lagi untuk kejayaan pada masa akan datang. 

     Pn. Khamisah binti Talib, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Kluang Barat mengucapkan tahniah kepada peserta yang telah mewakili sekolah dan mengucapkan syabas kepada Nursyahifee yang telah berjaya menjadi johan.  Beliau berharap, Nursyahifee akan berusaha untuk berjaya dalam pertandingan pidato di Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri pula.





No comments:

Post a Comment