CIKGU VETERAN

Contoh Ucapan Wakil Murid Sempena Hari Guru



Assalamualaikum wbkth….
Yang Berusaha En. Arifin bin Sapawi, Guru Besar SK Dato’ Syed Zain Alshahab,  Pn. Hjh Zamnah binti Osman, Guru Penolong Kanan Kurikulum, En. Tajuddin bin  Hussein   Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pn. Khamisah binti Talib, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Pn. Jamaliah binti Maarof, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, guru-guru yang dikasihi dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

     Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang mewakili rakan-rakan yang lain untuk menyampaikan ucapan pada hari yang amat bermakna buat guru-guru khususnya guru-guru di SK Dato’ Syed Zain Alshahab.  Kesempatan yang diberikan ini, amatlah  bermakna buat diri saya .

Guru-guru dan rakan sekalian,
     Hari ini merupakan Hari Guru. Tarikh keramat 16 Mei terpahat dalam ingatan guru-guru dan murid-murid. Hari Guru ini diraikan untuk mengenang  dan menghargai jasa dan pengorbanan para guru.  Jasa guru tidak ternilai harganya.  Tema Hari Guru pada tahun ini ialah  “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan”.

Guru-guru sekalian,
     Guru bolehlah diistilahkan sebagai tenaga pendidik atau tenaga pengajar.  Mereka ialah ibu dan bapa kita di sekolah.  Oleh sebab itu, guru-guru diletakkan tanggungjawab yang besar dan berat dalam pembentukan sahsiah murid-muridnya.  Masa murid-murid di sekolah bersama-sama guru  merupakan masa perdana dan rakan-rakan haruslah memanfaat masa itu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada guru-guru. 

Guru-guruku sayang,
     Kami tahu, guru-guru tidak mengharapkan balasan wang ringgit daripada kami, anak-anak didik kalian.  Justeru, saya menyeru rakan-rakan  agar berusaha dan belajar dengan bersungguh-sungguh sebagai hadiah kepada guru-guru. Saya yakin, guru-guru pasti akan gembira jika  kejayaan dapat dicapai oleh  anak-anak didik mereka.

Guru-guru dan rakan  sekalian,
     Di kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan ingin memohon ampun dan maaf jika kami ada melakukan sebarang kesalahan terhadap cikgu.  Mungkin, sepanjang kami bersama-sama cikgu, ada kelakuan kami yang menyinggung perasaan cikgu.  Mungkin juga, ada kata-kata dan tindakan kami yang menaikkan darah cikgu.  Oleh itu, maafkan kami, cikgu.  Maklumlah kami anak-anak kecil yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

     Buah cempedak di luar pagar,
            Ambil galah tolong jolokkan;
     Kami budak baru belajar,
            Kalau salah tolong tunjukkan.
    Maafkanlah kesalahan  kami, cikgu.

     Saya juga mewakili rakan-rakan berharap guru-guru akan mendoakan kami agar kami semua berjaya dalam  peperiksaan khususnya dalam UPSR nanti. Doakanlah kejayaan kami selagi kami bergelar pelajar.Segala ilmu yang cikgu ajarkan kepada kami akan kami manfaatkan dalam kehidupan kami.
     Akhir kata, hayatilah bait-bait puisi:

                        Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
                        Budi yang diapungkan di dulang ilmu
                        Panggilan keramat “Cikgu” kekal terpahat
                        Menjadi kenangan ke akhir hayat

Selamat Hari Guru!

     Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufik wal hidayah , assalamualaikum wbt.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment